FKAT Medan Promosi Kekayaan Budaya Sabah

TAWAU – Kerajaan Sabah akan terus memastikan kekayaan budaya yang dimiliki oleh rakyat berbilang kaum di negeri ini dikekalkan. Sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau menyatakan bahawa Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) adalah antara medan terbaik untuk mempromosikan khazanah budaya dan tradisi suku kaum yang diwarisi di negeri ini. “Sabah terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budaya etnik yang pelbagai serta keindahan alam semula jadi yang unik dan menarik. Kepelbagaian budaya dan keindahan alam flora dan fauna itu adalah antara aset dan khazanah negeri yang amat bernilai,” katanya.

budaya

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji menegaskan bahawa aspek budaya dan adat tradisi suku kaum, serta keindahan alam semula jadi yang menjadi khazanah Sabah, wajar diketengahkan menerusi festival ini. “Usaha seperti ini pasti akan merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini, termasuk di Tawau,” tambah beliau.

Selain itu, penganjuran program seperti FKAT turut memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat setempat. Khususnya usahawan, untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk-produk berunsur tradisi seperti kraftangan dan makanan etnik. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Siri Ke-9 Tahun 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Sabtu.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Tempat Anjur Program Bertaraf Dunia

Dengan siapnya Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) nanti, FKAT yang diadakan secara tahunan ini akan mempunyai bangunan kekal. Selain itu akan menjadi tempat penganjuran pelbagai program bertaraf dunia. “TICC ini juga akan menjadi pusat pengembangan budaya utama di luar ibu negeri Kota Kinabalu. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha murni seperti ini, iaitu ke arah melestarikan khazanah budaya turun temurun danĀ  mempromosikan sektor pelancongan. Selain itu, turut membangunkan ekonomi rakyat dan negeri, serta memupuk perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat,” jelas Datuk Seri Panglima Haji Hajiji.

budaya

Beliau juga menyatakan bahawa peserta dari negara luar seperti Indonesia, Thailand, dan India turut dijemput untuk menyertai festival ini. “Ini sudah pasti akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara negara kita Malaysia dengan negara-negara berkenaan. Saya berharap festival ini dapat dikekalkan menjadi acara tahunan. Hal ini kerana, program ini bukan sahaja mampu menyatupadukan rakyat melalui persembahan kebudayaan, malah sebagai wadah untuk melihat sendiri budaya dari negara luar,” kata beliau.

Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan budaya Sabah kepada dunia, tetapi juga untuk memupuk perpaduan. Selain itu, memperkukuhkan ekonomi tempatan melalui pelbagai aktiviti kebudayaan dan ekonomi.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *