KOTA KINABALU – Satu tindakan undang-undang bakal dipertimbangkan oleh keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas Double Six yang berlaku 48 tahun lepas. Tindakan ini untuk mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.
Langkah ini dinyatakan melalui kenyataan bersama oleh Faridah Stephen, Datuk Donald Peter Mojuntin, dan Kartina Sulong. Mereka merupakan waris kepada tiga daripada 11 mangsa yang terkorban dalam insiden di Pantai Kampung Sembulan pada 6 Jun 1976.
Dalam kenyataan tersebut, mereka menjelaskan bahawa tindakan ini diambil dengan harapan agar penderitaan yang dialami selama hampir lima dekad diakui dan diringankan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ini merupakan langkah terbaru yang dipertimbangkan setelah Laporan Siasatan Malaysia mengenai tragedi yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephen, didedahkan kepada umum pada 12 April 2023 setelah dinyahklasifikasi.
Ketiga-tiga individu tersebut mewakili keluarga bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen. Selain itu, turut mewakili keluarga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Peter Mojuntin; dan bekas Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong.
Mereka adalah antara kenamaan penting yang terkorban dalam tragedi tersebut. Peristiwa ini terjadi ketika pesawat jenis GAF Nomad 9M-ATZ buatan Australia yang mereka naiki dari Labuan hendak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sehubungan itu, keluarga mangsa kini mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pampasan yang mereka tuntut pada tahun lalu.
“Menjelang ulang tahun ke-48 tragedi itu (esok), pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan. Selain itu, ucapan terima kasih juga untuk pemahaman yang tidak berbelah bahagi daripada orang ramai.
“Satu majlis memperingati anjuran kerajaan negeri akan diadakan pada 6 Jun 2024. Kami mengundang komuniti untuk bersama-sama memperingati dan menghormati nyawa yang terkorban,” ujar kenyataan tersebut. – BERITA HARIAN
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini