Keputusan Permohonan Melanjutkan Pengajian Tinggi Awam Diumum 28 Jun 2024

pengajian

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan bagi pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari pada tarikh berkenaan hingga 5 petang 7 Julai.

“Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my dan https://jpt.uum.edu.my. Selain itu, semakan juga boleh dibuat melalui pautan  https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my, atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA dan ILKA.

Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun ini. Surat ini akan diberikan setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

Untuk pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja, permohonan rayuan boleh dikemukakan. Rayuan boleh dibuat melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan ke UA. Selain itu, rayuan juga boleh dibuat untuk kemasukan ke politeknik di https://upu.mohe.gov.my Proses rayuan boleh dibuat dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 28 Jun hingga 5 petang 7 Julai.

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Rayuan Ke Kolej Komuniti dan ILKA

“Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline. Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarangpermohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA. Pertanyaan boleh dilakukan melalui nombor telefon 03-8684 2363 dan e-mel upu@mohe.gov.my.

Layari platform media sosial Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA menerusi Facebook, Instagram dan TikTok untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *