SANDAKAN: Seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh membabitkan seorang mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35. Kejadian berlaku di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, di sini Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, tiga individu juga sedang dikesan bagi membantu siasatan. Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek wanita warga tempatan berumur 22 tahun yang ditahan adalah bekas isteri salah seorang suspek yang masih dicari iaitu Mohd Jasmin Rusman atau nama panggilannya Achok kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Mohd Jasmin, 24, warga Indonesia dan dua lagi warga tempatan masing-masing Mohamad Zulfaizzie Mohd Firdaus, 24, dan lelaki yang hanya dikenali sebagai Komeng 20-an kini giat diburu untuk membantu siasatan,” katanya semasa sidang media di sini.
Semasa ditanya apa hubungan mangsa bersama suspek, Ramasamy berkata mangsa ada berkenalan dengan seorang wanita. Wanita terbabit juga mempunyai seorang lagi rakan iaitu adik kepada salah seorang suspek iaiti
Katanya, dua lagi suspek lelaki yang diburu adalah rakan kepada Mohd Jasmin.
“Siasatan mendapati, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek, oleh itu mereka berjumpa di Sandakan bagi berbincang dan menyelesaikan masalah terbabit.
“Setakat ini, motif pembunuhan dikaitkan dengan hubungan mangsa dan adik Mohd Jasmin sebelum berlaku perselisihan faham terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya jangka masa kematian mangsa, beliau berkata, berdasarkan maklumat orang hilang yang diterima, mangsa hilang pada jam 4 pagi 21 Julai dan kali terakhir mangsa dijumpai bersama dengan Mohd Jasmin.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Masih Dalam Siasatan
Katanya, masa sebenar kematian dan bila mangsa dibunuh belum dapat dipastikan. Bagaimanapun mangsa kini sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan. Bedah siasat serta proses pengecaman akan dijalankan pada Sabtu.
“Memandangkan kes ini menarik dan keadaan mayat itu sendiri tidak sempurna, proses bedah siasat akan dijalankan oleh doktor pakar dari Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata, kes masih dalam siasatan berikutan hasil pemeriksaan awal tidak menemukan kesan terbakar pada mangsa. Bagaimanapun kereta dipercayai milik mangsa yang ditemukan di lokasi kejadian terbakar sepenuhnya.
Katanya, pemeriksaan awal di lokasi bagaimanapun tidak menemukan apa-apa senjata berkaitan kes ini.
“Pasukan Forensik sudah menjalankan siasatan lanjut. Sehingga kini kita belum menemukan sebarang senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini