Jenayah Penipuan Dalam Talian Akibatkan Kerugian Cecah RM2.6 Bilion

jenayah

KUALA LUMPUR – Jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian telah mencapai lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang dari tiga tahun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bagi menangani isu ini, Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 diperkenalkan. Rang Undang-Undang ini bertujuan mewujudkan peruntukan khusus bagi kesalahan yang melibatkan kaedah pembayaran atau akaun di institusi kewangan.

Azalina menyatakan bahawa langkah ini diambil untuk mengatasi peningkatan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan masyarakat. “Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk pihak polis, untuk mengekang sindiket penipuan. Ini termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, melakukan tangkapan, dan menjalankan pendakwaan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa kebanyakan penipuan dalam talian dijalankan melalui penggunaan akaun keldai. Akaun keldai adalah akaun yang digunakan oleh scammer untuk menyimpan wang mangsa sebelum dipindahkan ke akaun lain.

“Kelompongan dalam undang-undang semasa tidak menyediakan peruntukan untuk tindakan terhadap pemilik akaun yang membenarkan akaun mereka digunakan oleh orang lain,” jelas Azalina ketika membentangkan RUU untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Sejak tahun 2020 hingga Jun tahun ini, sebanyak 266,230 kes penipuan dalam talian yang melibatkan akaun keldai telah dilaporkan oleh mangsa. Oleh itu, kerajaan mengemukakan cadangan pindaan kepada Kanun Keseksaan (Akta 574). Hal ini untuk membanteras penipuan dalam talian yang berkaitan dengan akaun keldai secara komprehensif dan efektif.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Cadangan Pindaan Liput Dua Skop Utama

Cadangan pindaan ini meliputi dua skop utama: peruntukan baharu bagi kesalahan berkaitan akaun keldai dan tafsiran kaedah kewangan dan pembayaran. Azalina menjelaskan bahawa RUU ini mempunyai dua fasal yang melibatkan pewujudan empat seksyen baharu.

Salah satu seksyen yang dicadangkan, Seksyen 424B, bertujuan mengadakan peruntukan kesalahan dan penalti bagi pemberian pemilikan atau kawalan terhadap kaedah pembayaran atau akaun kepada orang lain tanpa kuasa atau maksud yang sah.

“Pindaan kepada Akta 574 ini diharapkan akan memberikan impak positif kepada masyarakat umum. Selain itu, membantu mengekang jenayah dalam talian yang menggunakan akaun keldai sebagai modus operandi mereka,” kata Azalina.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *