TAWAU – Di era digital yang serba canggih ini, maklumat dapat disebarkan dengan cepat, namun tidak semua yang beredar adalah sahih dan bermanfaat termasuk juga berita palsu. Kerajaan kini menyeru masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan komuniti mereka menerima maklumat yang benar dan telus. Ini adalah sebahagian daripada usaha melestarikan komuniti berinformasi yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa penyebaran berita palsu adalah cabaran besar yang dihadapi oleh semua kerajaan di seluruh dunia.
Menurut beliau, kejayaan atau kegagalan sesebuah negara dalam menangani isu berita palsu akan menentukan kualiti hidup rakyat. Beliau menyedari bahawa Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menghadapi banyak kekangan. Terutama dalam menyalurkan maklumat disebabkan ledakan teknologi moden yang digunakan secara meluas oleh masyarakat. Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak, termasuk kerajaan dan rakyat, untuk menyebarkan kandungan yang mendidik dan menyemak asas kebenaran sesuatu berita.
Nizam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, menyampaikan perkara ini ketika merasmikan Program Jalinan Aspirasi Wahana Insan (JIWA) Komuniti Madani Peringkat Parlimen Tawau. Beliau turut mengulas mengenai serangan ‘scammer’ yang semakin hebat dan pelbagai, serta fenomena buli siber yang semakin aktif.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Beliau menekankan perlunya wujud satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan. Contohnya seperti Komuniti Madani, untuk menghentikan penyalahgunaan teknologi dan aktiviti tidak bermoral ini. Dengan gerak kerja yang dimainkan oleh pasukan Komuniti Madani, diharapkan dapat memberikan pencerahan dan pendidikan sivik kepada masyarakat. Nizam juga berharap kepimpinan Komuniti Madani yang dilantik dapat membantu kerajaan membanteras penyebaran berita tidak sahih di kawasan masing-masing.
Bantu Kekang Berita Palsu
Pengarah JaPen Sabah, Jainisah Mohd Noor, menyatakan harapan agar pelantikan pengerusi dan penubuhan Komuniti Madani dapat membantu mengekang berita palsu. Beliau juga berharap Komuniti Madani dapat terus menjadi rakan strategik yang aktif kepada JaPen. Terutama dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat kepada komuniti.
Beliau menekankan pentingnya menyampaikan dasar dan program kerajaan supaya semua masyarakat di akar umbi dapat melibatkan diri dalam pembangunan diri sendiri mahupun masyarakat. Jainisah juga meminta semua masyarakat untuk menyokong usul kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat dan membangunkan negeri Sabah.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini