Cadangan Jadikan Tawau Sebagai Hub Pendidikan

pendidikan

TAWAU – Pendidikan merupakan asas kepada pembangunan sesebuah negara dan kemajuan masyarakatnya. Bagi memastikan generasi muda di Sabah mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, telah mencadangkan agar Tawau dijadikan sebagai hub pendidikan.

Langkah ini tidak hanya bertujuan untuk mempertingkatkan mutu pendidikan di daerah tersebut tetapi juga untuk menjadikan Tawau sebagai pusat pendidikan yang disegani di Sabah dan Malaysia.

Pada masa ini, kebanyakan institusi pengajian tinggi di Tawau hanya merupakan ‘universiti tumpangan’ yang menawarkan beberapa bidang sahaja. Lo Su Fui menekankan keperluan untuk mempunyai universiti penuh yang menawarkan pelbagai bidang pengajian.

Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan negeri Sabah akan terus diperkukuhkan. Hal ini untuk memastikan mata pelajaran yang ditawarkan sesuai dengan pembangunan di daerah Tawau. Dengan langkah-langkah ini, diharapkan Tawau akan mampu melahirkan modal insan yang dapat bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Beliau ditemui ketika merasmikan program Semega, Selangkah Ke Menara Gading 2024. Lo Su Fui merakamkan syabas kepada pihak penganjur, termasuk Pejabat Parlimen Tawau dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, yang berjaya menganjurkan program kali ini.

Program ini dianggap sangat penting kerana ia menjemput pelbagai institusi pengajian dari seluruh Malaysia untuk memberikan peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan pendedahan mengenai pendidikan tinggi. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dengan kehadiranlebih daripada 3,000 murid dan guru.

Pencapaian SPM Yang Membanggakan

Lo Su Fui turut mengucapkan tahniah kepada PPD Tawau atas pencapaian SPM yang membanggakan. Daerah Tawau berjaya mencipta sejarah baharu keputusan prestasi terbaik di Tawau dan berada di tempat kedua terbaik di Sabah.

Selain itu, inisiatif untuk mewujudkan perpustakaan pintar (smart library) dan kelas pintar (smart class) juga akan diperkenalkan di Tawau. Projek ini untuk memastikan agar setaraf dengan pendidikan di Semenanjung Malaysia. Selain itu, projek ini juga akan menjadikan Tawau sebagai pelopor kepada inisiatif ini.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *