TAWAU – Tawau sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi Program Cabaran Anugerah Tunas dan Pandu Puteri peringkat negeri Sabah 2024 untuk melahirkan remaja perempuan yang berdikari. YB Rina Hj Jainal, ADUN Kukusan hadir merasmikan acara tersebut.
Daerah ini mendapat penghormatan tersebut kerana memiliki peserta terbanyak dengan 25 penerima anugerah. Program ini melibatkan 60 peserta dari Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau, yang akan mewakili negeri Sabah di peringkat kebangsaan.
Dalam ucapannya, YB Rina menekankan pentingnya program ini dalam melahirkan remaja perempuan yang berdikari dan berkemahiran. Hal ini memberikan kelebihan buat YB Rina yang merupakan wakil rakyat daripada golongan wanita untuk lebih mendekati dan memahami hal ehwal persatuan wanita di daerah ini termasuklah program yang diadakan pada hari ini.
Beliau, yang pernah menjadi ahli Tunas Puteri dan Pandu Puteri, turut berkongsi pengalamannya dalam persatuan ini dan memberi sokongan kepada generasi muda agar mereka terus kreatif dan beradaptasi dengan kemahiran yang ada.