TAWAU – Program Komuniti Madani Peringkat Taman Semarak baru-baru ini telah berlangsung dengan penuh semangat patriotik. Pemimpin Pembangunan Masyarakat N72 Merotai Tuan Jailani Hj Chachu, hadir untuk merasmikan program kemerdekaan tersebut. Acara ini turut diserikan dengan kehadiran ramai anak muda yang menyertai Konvoi Merdeka, menjelajah kawasan Taman Semarak sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga.
Menurut Tuan Jailani atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Jai’, tujuan utama program ini adalah untuk menanamkan bibit kemerdekaan dalam kalangan generasi muda. Mereka adalah pewaris masa depan yang bakal menggantikan kepimpinan negara pada masa akan datang. Melalui program seperti ini, anak muda didedahkan dengan makna sebenar kemerdekaan dan pentingnya menghargai serta mempertahankan kemerdekaan yang telah diperoleh.
Cikgu Jai berkata “Program sebegini perlu dipergiatkan agar semangat kemerdekaan dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda”. Dalam era moden ini, semangat patriotisme dalam kalangan golongan muda dilihat semakin pudar. Dengan itu, inisiatif seperti Konvoi Merdeka ini adalah salah satu cara yang berkesan untuk menghidupkan kembali semangat tersebut.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sepanjang program, dapat dilihat rumah-rumah dan kampung-kampung di sekitar Taman Semarak telah dihiasi dengan bendera Malaysia. Hal ini menggambarkan semangat kemerdekaan dan kebanggaan akan negara. Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar satu tradisi, tetapi adalah simbol penting yang memastikan semangat kemerdekaan tidak pudar dalam diri setiap rakyat Malaysia.
Fahami Erti Kemerdekaan
Program ini juga menggalakkan anak muda untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam. Perkara ini bukan hanya sekadar perayaan tahunan tetapi sebagai satu nilai yang perlu dihayati sepanjang masa. Dengan berfikiran rasional dan memerdekakan diri daripada pengaruh yang tidak baik. Generasi muda perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga dan memajukan negara.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Tawau En Azuary Abdul Azis dan Pengerusi Komuniti Madani Taman Semarak En Abd Halim Bin Hassan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.