Sabah kini menjadi destinasi pilihan bagi pelancong dari Korea, dengan jumlah kehadiran yang semakin meningkat. Kehadiran pelancong ini membuka peluang baru bagi penduduk Sabah, yang tidak melepaskan peluang untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Korea.
Penguasaan bahasa asing ini bukan sahaja memudahkan komunikasi, tetapi juga membantu mereka menarik lebih ramai pelanggan dari negara tersebut. Kebelakangan ini, beberapa video tular menunjukkan kecekapan penduduk Sabah dalam bertutur bahasa Korea.
Melalui laman TikTok ‘Percutian Bajet Sabah’, seorang pemandu pelancong telah mendapat perhatian ramai. Apabila dia memberikan penerangan mengenai tatacara paragliding dalam bahasa Korea kepada pelancong dari negara tersebut.
Video lain yang diterbitkan oleh TikTok Saysdotcom pula memperlihatkan seorang penjual sayap ayam yang bukan sahaja fasih dalam bahasa Korea, tetapi juga menjual produknya dalam bahasa tersebut. Baru-baru ini, tular juga video seorang penjual buah yang dirakam sedang berbual mesra dengan seorang warga Korea dalam bahasa mereka.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Keupayaan penduduk Sabah untuk menguasai bahasa asing ini adalah satu tindakan bijak, memandangkan ramai pelancong dari negara kelahiran Lee Kwang Soo itu memilih Sabah sebagai destinasi percutian mereka. Kehadiran penerbangan terus dari Korea ke Sabah juga menguatkan lagi trend ini.
Melalui usaha ini, penduduk Sabah bukan sahaja dapat memperkukuhkan industri pelancongan tempatan, tetapi juga meningkatkan ekonomi mereka dengan melayani pelancong asing dalam bahasa mereka. Justeru itu, pihak berkaitan perlu melihat peluang ini untuk melaksanakan program atau kursus pertuturan bahasa asing.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini