TAWAU – Kampung Titingan, sebuah kampung lama di Tawau, telah menjadi simbol perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduknya. Dalam Karnival Hari Malaysia yang dianjurkan oleh komuniti Kampung Titingan, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, mengucapkan syabas dan tahniah kepada penduduk kampung yang terus memelihara perpaduan dan kesatuan yang telah lama terjalin.
Menurut beliau, perpaduan dan kerjasama antara penduduk kampung ini adalah faktor penting dalam memastikan kemakmuran dan kestabilan kawasan tersebut terus terjamin.
Datuk Nizam turut berharap agar perpaduan yang erat ini akan kekal. Hal ini untuk memastikan penduduk tidak berpecah belah, seiring dengan sokongan terhadap agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
“Perpaduan ini adalah tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran kampung. Hal ini akan membantu kerajaan membawa lebih banyak pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat,” kata beliau.
Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa negara Malaysia, khususnya Sabah, mempunyai pelbagai budaya dan bangsa, namun perpaduan dalam kalangan masyarakat tetap dijaga dengan baik. Penduduk Kampung Titingan telah bersatu hati dalam memelihara keharmonian ini, menjadikan kampung mereka sebuah contoh kepada masyarakat lain.
Kerjasama Penduduk Pacu Pembangunan Kampung
Sebagai wakil rakyat, Datuk Nizam juga menzahirkan rasa terima kasihnya atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan oleh penduduk ini terutama dalam memacu pembangunan kampung tersebut.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar terus menyemai semangat cintakan negara. Selain itu, penduduk juga diharapkan tidak melupakan perjuangan mereka dalam mengekalkan keharmonian serta perpaduan yang telah lama terbina. Perpaduan ini bukan sahaja penting untuk masa kini. Tetapi juga untuk generasi akan datang, dalam memastikan Sabah terus makmur dan bersatu.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau, Aris Heru Utomo. Beliau turut memberikan sokongan kepada usaha perpaduan dan kerjasama antara masyarakat Sabah dan Indonesia.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.