TAWAU – Kementerian Pertahanan terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Program Peduli Veteran Madani (PVM). Dalam lawatan yang berlangsung dari 8 hingga 10 September 2024, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, berkunjung ke Semporna dan Tawau.
Ini adalah kunjungan pertama beliau ke dua daerah ini dengan tujuan menyantuni veteran ATM serta keluarga mereka dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kerajaan dan veteran yang telah banyak berjasa kepada negara.
Sepanjang lawatan PVM ini, YB Adly berkesempatan bertemu dengan 21 orang veteran ATM yang uzur serta menghidap penyakit kronik. Daripada jumlah tersebut, tiga orang adalah veteran yang kini berjaya sebagai usahawan.
Dalam pertemuan ini, YB Adly menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, dan lampin pakai buang kepada veteran-veteran yang diziarahi. Sebanyak 500 Bakul Rahmah juga diagihkan kepada persatuan-persatuan veteran setempat untuk diserahkan kepada veteran yang berstatus asnaf.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Di Semporna, terdapat seramai 594 orang veteran ATM dan 174 daripadanya adalah veteran yang tidak berpencen. Manakala di Tawau, terdapat 741 veteran ATM, dengan 258 daripadanya tidak berpencen. Secara keseluruhan, Sabah mempunyai seramai 8,068 veteran ATM, dan 3,174 daripadanya tidak berpencen.
Kerajaan amat komited untuk menjaga kebajikan semua veteran ini, selari dengan Teras ke-6 Dasar Madani, iaitu ‘Ihsan’. Pada tahun 2024, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) daripada RM118 juta kepada RM244 juta. Hal ini satu peningkatan yang ketara dan mampu membawa manfaat yang lebih luas kepada golongan veteran.
Ziarah Kasih
Dalam lawatan tersebut, YB Adly turut menziarahi keluarga Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San bin Hermansa. Beliau seorang penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia semasa Operasi Salvaj KD PENDEKAR di perairan Tanjung Pengelih, Johor.
Allahyarham adalah anak kelahiran Kampung Sapagaya, Lahad Datu, dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara. Kunjungan ini merupakan salah satu usaha Kementerian Pertahanan untuk terus menjaga kebajikan ahli keluarga anggota ATM yang terkorban ketika bertugas.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.