TAWAU – Pada 28 dan 29 September 2024, Taman Ria Height menganjurkan program Perkampungan Maulidur Rasul yang pertama. Pelbagai aktiviti keagamaan diadakan bagi memupuk silaturahim di kalangan penduduk dan menghidupkan semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Sambutan daripada masyarakat taman serta penglibatan mereka, termasuk dari kalangan bukan Islam, menjadikan program ini amat bermakna.
Program Perkampungan Maulidur Rasul di Taman Ria Height menampilkan beberapa aktiviti menarik, antaranya futsal bersarung, yang mengutamakan pematuhan aurat dalam sukan sambil membawa mesej adab dalam permainan.
Acara lain termasuk slot interaktif “Tak Tahu Tanya La Mr. Bie”, di mana Ustaz Hasbi memberi peluang kepada peserta untuk bertanya soalan berkaitan agama. Selain itu, turut berlangsung program lain seperti bengkel pengurusan jenazah dan rawatan Islam oleh penceramah yang berbeza. Program ini mendapat sambutan menggalakkan, memberikan pengetahuan asas fardhu kifayah kepada masyarakat.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pelbagai Program Berbentuk Keagamaan Diadakan
Program ini turut menyaksikan ceramah agama oleh Ustaz Ridho yang diiringi dengan sesi open mic. Sesi ini membolehkan penduduk bertanyakan soalan keagamaan.
Selain itu, perarakan Maulidur Rasul yang disertai lebih 100 orang penduduk turut dianjurkan, memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW sambil memperkuatkan hubungan agama dalam kalangan komuniti. Kuliah Subuh dan program qiamulail juga menjadi platform untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sambutan masyarakat terhadap program ini amat luar biasa, malah turut dihadiri oleh penduduk bukan Islam. Hal ini mencerminkan keharmonian dan toleransi yang wujud di Taman Ria Height. Encik Mustari Lanaba, Pengerusi Masjid Jiran Ria Height, menekankan bahawa program ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk, sekaligus menghidupkan suasana perpaduan yang lebih erat.
Perkampungan Maulidur Rasul 1.0 ini diharap akan menjadi program tahunan yang berterusan. Bahkan program ini dirancang untuk diperluaskan ke peringkat antara taman dan kampung pada masa akan datang.
Program ini menonjolkan nilai-nilai Islam yang positif dan meningkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dalam kalangan penduduk Taman Ria Height.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.