TAWAU – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Tawau, meninjau perkembangan semasa dan merancang pembaharuan menyeluruh yang akan mengubah wajah lapangan terbang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Tawau yang menjadi pintu masuk penting bagi destinasi pelancongan seperti Semporna, telah menarik perhatian kerajaan persekutuan berikutan peningkatan ketara jumlah pelancong ke Sabah, kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19.
Loke menyatakan, Tawau kini menjadi antara destinasi pelancongan utama yang mencatatkan peningkatan aliran pelancong. Namun, lapangan terbang ini mengalami kesesakan yang melampaui kapasiti asalnya sebanyak 1.5 juta penumpang setahun.
Pada 2023, jumlah penumpang mencecah 1.71 juta, yang menunjukkan keperluan mendesak untuk naiktaraf infrastruktur. Selain penumpang, aliran kargo juga melonjak, dengan 13,000 metrik tan pada tahun lalu berbanding 4,000 metrik tan pada 2019. Jumlah ini membuktikan peranan Tawau sebagai hab penting untuk penghantaran produk segar.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Peruntukan RM130 Juta bagi Projek Naiktaraf
Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta untuk projek naiktaraf yang dijangka bermula awal tahun depan dan akan selesai dalam masa tiga tahun.
Projek ini akan meningkatkan kapasiti tahunan lapangan terbang kepada 2.5 juta penumpang. Projek penambahbaikan ini merangkumi penambahan luas terminal sebanyak 50% pada bangunan sedia ada, dan penambahan kaunter daftar masuk daripada 12 kepada 20 kaunter.
Loke menjelaskan, perubahan ini akan menjadikan Lapangan Terbang Tawau sebuah terminal tertutup yang serba moden dengan kemudahan penghawa dingin sepenuhnya.
Dalam masa terdekat, pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan mengambil langkah awal untuk memastikan penumpang selesa. Perkara ini termasuklah menambah baik sistem penyejukan di kawasan tumpuan, memperbaiki papan tanda dengan penambahan bahasa, serta menambah kakitangan pelbagai bahasa untuk membantu penumpang antarabangsa.
Dengan pelan naiktaraf ini, Lapangan Terbang Tawau dijangka dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih selesa. Hal ini seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pelancongan di Sabah.
Pelan ini tidak hanya memfokuskan kepada pengembangan infrastruktur, tetapi juga meningkatkan pengalaman pengguna. Perkara ini sekaligus memperkukuh peranan Tawau sebagai pintu masuk utama ke destinasi pelancongan popular di Sabah.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.