KUALA LUMPUR – Dalam pembentangan Bajet 2025, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menekankan beberapa pencapaian penting negara. Tahun lalu mencatat sejarah dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion, angka tertinggi yang pernah direkodkan. Mata wang ringgit turut diiktiraf sebagai antara yang berprestasi terbaik di dunia.
Bagi tahun ini, kutipan hasil negara dijangka meningkat kepada RM322 bilion berbanding RM308 bilion sebelumnya. Untuk meluaskan asas percukaian, Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan diperluas. Namun ia dilaksanakan secara progresif untuk mengelakkan bebanan kepada rakyat biasa. Antara barang yang dikenakan cukai adalah barangan premium seperti ikan salmon dan avocado.
Dalam usaha memastikan subsidi lebih tepat sasaran, kerajaan merancang untuk memperkenalkan subsidi bersasar bagi petrol RON95 mulai pertengahan 2025. Selain itu, Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan dalam pembangunan dengan peruntukan tertinggi antara negeri-negeri, masing-masing menerima RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut ditingkatkan kepada RM360 juta untuk memperkuatkan usaha menentang rasuah. Lebih 3,000 undang-undang lapuk juga akan dikaji semula melalui pembentukan Pasukan Reformasi Perundangan. Kajian ini akan mengemaskini undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950, bagi memastikan ia sesuai dengan perkembangan zaman.
Bajet 2025 ini menegaskan komitmen kerajaan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh sistem percukaian yang adil, serta memberi tumpuan kepada pembangunan saksama di seluruh negara.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.