TAWAU – Tragedi kebakaran yang melanda Kampung Jati, Batu 5 pada 27 Oktober lalu telah menghanguskan 38 rumah dan meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, Adik Putra Harriez. Dalam usaha meringankan beban mangsa, Ustaz Hasbi atau lebih dikenali sebagai Mr. Bie dari Pertubuhan Kebajikan Bina Amal Tawau segera menggerakkan misi bantuan kebakaran. Satu usaha digerakkan dengan mengumpul sumbangan melalui pertubuhannya.
Misi ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM17,500 hasil sumbangan rakyat Malaysia, Masjid Jiran Ria Height dan Pertubuhan Sedulur. Setiap isi rumah yang terjejas menerima RM350, yang diharap dapat membantu mereka sementara waktu.
Misi bantuan ini juga menerima kerjasama yang sangat baik daripada pelbagai pihak. Mr. Bie turut mengingatkan masyarakat untuk berhati-hati dengan scammer. Pastikan sumbangan hanya disalurkan melalui akaun rasmi Pertubuhan Kebajikan Bina Amal Tawau.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Melawat Keluarga Allahyarham Adik Harriez
Dalam misi ini, Mr. Bie turut berkesempatan melawat keluarga Allahyarham Adik Harriez untuk menyampaikan sumbangan khas. Ibu saudara Allahyarham, Noriam, hadir mewakili keluarga untuk menerima sumbangan tersebut, berkongsi bahawa Harriez kebiasaannya dijaga oleh neneknya bersama cucu-cucu yang lain terutama ketika cuti sekolah. Walaupun berat menerima kehilangan ini, keluarga Allahyarham Harriez reda dengan takdir yang telah ditentukan.
Dengan harapan agar mangsa mendapat kekuatan dalam menghadapi dugaan ini. Dalam masa yang sama, Pertubuhan Kebajikan Bina Amal Tawau terus mengalu-alukan sumbangan masyarakat untuk membantu mereka yang terkesan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.