TAWAU – 13 Briged, yang diterajui oleh Panglima 13 Briged, Brig Jeneral Hashim Osman, memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan di pantai timur Sabah.
Ditubuhkan selepas insiden pencerobohan oleh Kesultanan Sulu di Tanduo pada tahun 2013. Briged ini ditubuhkan sebagai respons kepada ancaman keselamatan, khususnya di kawasan selatan pantai timur Sabah.
Briged ini juga menyambut ulang tahun ke-5 Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Di Tawau, Sabah dengan acara perbarisan yang berfungsi sebagai platform untuk mengekalkan tradisi rejimental dan memupuk semangat espirit de corps dalam kalangan anggotanya.
Pasukan ini terdiri daripada beberapa pasukan tempur utama termasuk 26 Rejimen Askar Melayu Diraja dan 8 Rejimen Sempadan. Selain itu, 13 Briged juga dibantu oleh 516 anggota Askar Wataniah yang bertindak sebagai sokongan dan barisan kedua pertahanan.
Penubuhan pasukan ini telah berjaya mengukuhkan lagi kekuatan ketenteraan di kawasan pantai timur Sabah. Pasukan ini membantu mengurangkan ancaman pencerobohan, penculikan, dan aktiviti-aktiviti jenayah yang mungkin berlaku di sempadan Malaysia.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sebagai salah satu usaha memperkuatkan keanggotaan dan meningkatkan keberkesanan operasi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meluluskan pembinaan kem baharu di Felda Sahabat dengan anggaran kos RM585 juta.
Pembinaan kem baharu ini dijangka menyediakan keselesaan kepada anggota. Hal ini termasuk pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) untuk mengatasi isu kekurangan tempat tinggal bagi keluarga tentera. Terutamanya di kawasan dengan kos sewa yang tinggi.
Selain fokus pada anggota tetap, 13 Briged juga menumpukan usaha untuk meningkatkan latihan anggota sukarela, khususnya Rejimen 516 Wataniah. Sebagai barisan kedua pertahanan, mereka memainkan peranan penting dalam membantu pasukan tetap dalam menjaga keselamatan.
Penglibatan rakyat Sabah dalam Angkatan Sukarela juga menunjukkan komitmen tinggi masyarakat tempatan dalam mempertahankan tanah air, yang turut menyumbang kepada pengekalan keamanan di kawasan tanggungjawab 13 Briged.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.