TAWAU – Kehadiran dan keterlibatan anak muda dalam pembangunan negara adalah penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan, inovasi, dan daya saing negara. Golongan ini membawa tenaga dan idea baharu yang segar serta semangat untuk membuat perubahan.
Justeru, adalah tanggungjawab pihak berwajib untuk mendengar suara mereka, menyediakan peluang, dan mencipta saluran untuk anak muda menyuarakan pandangan mereka dalam pelbagai aspek. Hal ini termasuk pendidikan, ekonomi, politik, dan pembangunan sosial.
Program Bicarawara Hala Tuju Anak Muda SMJ Kalabakan adalah salah satu inisiatif penting yang dilancarkan untuk tujuan tersebut. Program ini berlangsung sempena Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan selama tiga hari, bermula pada 1 hingga 3 November 2024, dan dianjurkan oleh Pertubuhan Penggerak Bakti Kalabakan.
Dengan kehadiran khas panel jemputan seperti YB Datuk Andi Suryady Bandy, Ahli Parlimen Kalabakan, dan YB Datuk Lo Su Fui, Ahli Parlimen Tawau, program ini membuka ruang interaktif yang menghubungkan pemimpin dengan generasi muda di kawasan Tawau dan Kalabakan.
Dalam sesi bicarawara, YB Datuk Andi Suryady Bandy berkongsi pandangannya mengenai peranan penting program ini untuk anak muda. Beliau menegaskan bahawa program ini bukan sekadar platform untuk anak muda mengetahui isu semasa tetapi juga untuk memahami usaha kerajaan negeri dalam menangani isu-isu yang dekat dengan hati anak muda.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Golongan Muda Tidak Tersisih
Menurut beliau, penting bagi kerajaan untuk menjalin hubungan erat dengan golongan ini agar mereka tidak berasa tersisih. Selain itu, untuk memastikan kehendak mereka dapat difahami serta diberi perhatian.
Manakala, YB Datuk Lo Su Fui pula menyuarakan rasa terujanya dapat berkongsi bersama anak muda Tawau dan Kalabakan. Beliau mendengar pelbagai luahan mereka tentang isu pendidikan dan peluang pekerjaan.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk berkongsi dasar-dasar yang telah dijalankan oleh kerajaan. Terutamanya dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi belia Sabah. Pendekatan ini diharap dapat membantu mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh generasi muda dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian.
Puan Fifi Rafiedah Ariff, pengarah program ini, turut menyatakan bahawa program ini adalah peluang keemasan untuk pemimpin berkongsi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan golongan muda.
Selain sesi bicarawara, karnival kali ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Antaranya ialah acara sukan, program keagamaan, pameran pendidikan dan kerjaya, serta pameran kebudayaan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.