Regatta Lepa ialah festival tahunan ikonik di Semporna, Sabah, yang mempamerkan budaya dan tradisi masyarakat Bajau Laut. Istilah “Regatta” bermaksud perlumbaan perahu, manakala “Lepa” ialah perahu tradisional yang digunakan sebagai pengangkutan harian dan tempat berteduh. Festival ini menjadi platform untuk memperkenalkan seni, adat, dan warisan unik Bajau kepada dunia.
Asal Usul dan Evolusi Lepa
Perahu Lepa, juga dikenali sebagai bayanan dalam bahasa Bajau, digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat Bajau Laut. Selain menjadi pengangkutan utama, Lepa turut berfungsi sebagai tempat tinggal bagi komuniti yang hidup nomad di perairan Semporna. Seiring dengan perkembangan zaman, Lepa mengalami transformasi dalam aspek hiasan, ukiran, dan seni bina, menjadikannya lambang budaya yang dihormati. Acara tradisi seperti tarian igal-igal dan muzik tradisional memperkayakan lagi keindahan Lepa dalam festival ini.
Sejarah Regatta Lepa
Festival ini bermula pada tahun 1962 sebagai Pesta Tamu Besar Semporna tetapi terhenti selepas tiga tahun. Pada 1972, ia dihidupkan kembali dan dirasmikan oleh Tun Mustapha Bin Datu Harun, namun sekali lagi terhenti pada 1976. Pada 1994, pesta ini diberi nama Regatta Lepa oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai, dan sejak itu, ia dianjurkan setiap tahun di bawah Pejabat Daerah Semporna. Kini, festival ini telah menjadi sebahagian daripada kalendar tahunan Pesta Air Malaysia.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Jenis Acara Menarik
Festival ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias yang dihiasi sambulayang dan lamag tapis-tapis. Terdapat juga pertandingan sukan laut seperti kayak, tarik tali perahu, dan lumba kelle-kelle. Selain itu, acara Budjang Manis dan Lalla Dorogan serta perasmian adat Sangom Maglami-lami turut menyerikan festival ini.
Festival ini juga adalah sebagai tanda usaha berterusan untuk melestarikan tradisi dan warisan Bajau Laut. Festival ini tidak hanya memperkukuhkan identiti budaya masyarakat Bajau tetapi juga berperanan menarik pelancong, memperkenalkan keunikan Sabah kepada dunia, dan memastikan keindahan seni warisan ini terus hidup sepanjang zaman. Pada tahun 2024, festival ini dilaksanakan pada 23-24 November 2024.
Rujukan
- Perahu Lepa: Sejarah Dan Warisan Suku Kaum Bajau Laut: https://jslim.uitm.edu.my/pdf/jilid_6_1/jilid_6_5.pdf
- Pembudayaan Lepa dan Sambulayang dalam Kalangan Suku Kaum Bajau di Semporna, Sabah, Malaysia: Satu Penelitian Semula: https://journals.mindamas.com/index.php/sosiohumanika/article/viewFile/412/410
- Tamu Besar Semporna: https://www.sempornamari.com/2024/09/tamu-besar-semporna.html?fbclid=IwY2xjawGpHlJleHRuA2FlbQIxMAABHYLPXT9HqLtaDhoZDt0lWcQBIrJ0JccnwEvjsluTYUfGvaIqVAPs_-yTaA_aem_C_bkay44cz6R2s2mCKy8tA
- Pesta Regatta Lepa Citra Budaya Masyarakat Bajau: https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2023/11/20/7624/
- Regatta Lepa: 3 Simbol Warisan Masyarakat Bajau: https://media-perpaduan.com/2023/11/18/regatta-lepa-3-simbol-warisan-masyarakat-bajau/
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.