TAWAU – Keperluan rumah mampu milik seperti Rumah Mesra SMJ sangat bermanfaat, terutama bagi mereka yang terkesan oleh bencana atau kekurangan sumber.
Dengan kos pembinaan antara RM80,000 hingga RM90,000, program Rumah Mesra SMJ memberikan harapan kepada rakyat yang memerlukan.
Baru-baru ini, Tan Sri Liew Yun Fah, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, telah menyerahkan dua buah Rumah SMJ di Kampung Cina, Jalan Sin Onn Tiku. Penerima Rumah Mesra SMJ ini merupakan mangsa yang terlibat dalam kebakaran pada 29 Februari 2024 dan memusnahkan beberapa buah rumah.
Atas keprihatinan Ketua Menteri Sabah, permohonan rumah ini diluluskan, memberikan sinar baru kepada penduduk kampung yang kehilangan tempat tinggal. Tan Sri Liew menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat untuk membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Tan Sri Liew turut menyokong pertambahan kuota sebanyak 40 buah Rumah SMJ bagi setiap DUN. Perkara ini telah dibentangkan pada Belanjawan Sabah 2025. “Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menambah jumlah Rumah Mesra SMJ ini menjadi 40 buah setiap DUN kerana melihat masih ramai lagi rakyat yang susah dan tidak mempunyai rumah,” katanya.
Peruntukan ini membuktikan komitmen untuk membantu rakyat pelbagai kaum dan latar belakang politik. Usaha ini tidak hanya memulihkan kehidupan penduduk tetapi juga memperkukuhkan perpaduan di kalangan komuniti setempat.
Soon Siu Yen, antara penerima Rumah SMJ berkata, beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan bantuan ini terutamanya Kerajaan Negeri Sabah.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.