TAWAU – Tropical Rainforest Run 2024 telah berlangsung pada 24 November 2024 di Taman Bukit Tawau. Acara ini menampilkan cabaran seperti 28km Tropical Rainforest Trail Run melalui laluan berbukit Mount Lucia dengan ketinggian 1200 meter.
Para peserta telah menyertai 6km Fun Trail Run, menawarkan pengalaman santai sambil menikmati keindahan hutan hujan, termasuk mata air panas semula jadi dan flora endemik.
Kategori Lelaki Terbuka dimenangi oleh Sheron Sariman, diikuti oleh Milton Bin Amat dan Oswald Maikol. Bagi Kategori Lelaki Veteran, Ruston Masiri berjaya meraih tempat pertama, diikuti oleh Onesmus Mathangu Maithya dan Guainnus Salagan.
Untuk Kategori Wanita Terbuka, Naomi Wambui Muriuki menduduki tempat pertama. Manakala Purity Jelimo Serem dan Marziana Masbak masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga. Akhir sekali, Kategori Wanita Veteran dimenangi oleh Epang Sarawi, diikuti oleh Mailin Salungin dan Kona Liau.
Program ini dihadiri oleh Madam Mary Malangking, Timbalan Setiausaha Tetap I, mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Seri Panglima Christina Liew.
Turut hadir adalah Mr. Fazrullah Rizally Abd Razak, Pengarah Kanan Sabah Parks dan Mr. Khairul Amir Anuar, Pengarah Pelancongan Malaysia Sabah. Selain itu, turut hadir Mr. Ken Pan, Pengerusi Sri Pelancongan Sabah.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Sebahagian Yuran Pendaftaran Disumbangkan
Tropical Rainforest Run dianjurkan oleh Sabah Tourism Board melalui Sri Pelancongan Sabah. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Sabah Parks, Majlis Perbandaran Tawau, dan Tawau Runner Club.
Acara ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) serta Tourism Malaysia, dengan tajaan utama daripada K2 Drinking Water dan Zeak.
Sebahagian daripada hasil pendaftaran akan disumbangkan kepada projek pemuliharaan hutan Sabah. Sumbangan ini menjadikan acara ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi juga usaha menyelamatkan keindahan biodiversiti dunia.
Tropical Rainforest Run 2024 turut mencatatkan kehadiran peserta antarabangsa dari luar negara. Antaranya ialah Singapura, Kenya, Thailand, China, dan Indonesia, menjadikan acara ini bertaraf global.
Selain mempromosikan pemeliharaan alam, perlumbaan ini turut meningkatkan kesedaran mengenai flora dan fauna unik di Taman Bukit Tawau. Terutamanya seperti pokok Meranti Kuning, salah satu pokok tropika tertinggi di dunia.
Dengan gabungan usaha pelbagai pihak dan sambutan hangat masyarakat tempatan dan antarabangsa, program ini tidak hanya menjadi platform sukan, tetapi juga simbol pemeliharaan khazanah alam untuk generasi akan datang.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.