TAWAU – Keperluan untuk kerjasama erat antara SAFA Tawau dan akademi bola sepak di daerah Tawau menjadi kunci dalam membangunkan bakat muda di sukan bola sepak.
Pendekatan kolaborasi ini memastikan ekosistem bola sepak tempatan terus berkembang. Selain itu turut memberi peluang kepada generasi baharu untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Datuk Hj Nizam Abu Bakar Titingan, Presiden SAFA Tawau dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, dalam ucapan beliau semasa perasmian penutupan Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Piala YB Datuk Hj Nizam DSP Abu Bakar Titingan, menekankan sokongan padu SAFA terhadap usaha-usaha seperti yang dilakukan Akademi Bola Sepak Tawaukini. Beliau menyifatkan usaha mencungkil bakat sebagai pelengkap kepada program tahunan SAFA yang melibatkan pelbagai peringkat umur.
“Akademi Bola Sepak Tawaukini telah membuktikan kemampuan mereka dengan melahirkan 11 jurulatih bertauliah dalam tempoh tiga tahun sahaja. Ini satu pencapaian yang patut dicontohi oleh kelab bola sepak lain,” kata Datuk Hj Nizam. Beliau turut menekankan pentingnya penganjur pertandingan, kelab dan akademi bola sepak mematuhi garis panduan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sabah FA, dan FIFA dalam setiap program pembangunan mereka.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Padang A dan Padang B Kompleks Sukan Tawau menyaksikan Bombalai Jr muncul juara. Pasukan Bombalai JR membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala, serta medal. Naib juara dimenangi oleh KLK FC, manakala tempat ketiga bersama diraih oleh IT Team A dan IT Team B. Kejohanan ini turut bekerjasama dengan syarikat pemasaran media sosial Tawaukini, yang menyiarkan perlawanan secara langsung.
Pelaburan Terhadap Pembangunan Jurulatih
Pengarah Akademi Bola Sepak Tawaukini, Encik Rahman Imuda, menyatakan bahawa pembangunan bola sepak bermula dengan pelaburan terhadap jurulatih. “Jurulatih berkualiti adalah tulang belakang pembangunan pemain muda, dan kami percaya pelaburan ini akan memberi hasil jangka panjang,” tambahnya.
Usaha ini diharap dapat diteruskan untuk mewujudkan ekosistem bola sepak yang lebih kukuh di Tawau. Kerjasama seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu tetapi juga membina asas untuk bola sepak menjadi kerjaya yang profesional bagi generasi muda.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.