TAWAU – UMNO Sabah kini dalam fasa aktif memperkukuhkan kedudukannya sebagai pembangkang di Sabah, bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Program Gerak17 telah diperluas ke kawasan DUN Kukusan, menjadikannya lokasi ke-21 program ini.
Menurut Datuk Bung Mokhtar Radin, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, program ini bertujuan mendominasi sokongan rakyat dengan menonjolkan kelemahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau menegaskan, isu seperti bekalan air bersih, elektrik, serta kos sara hidup yang semakin membebankan perlu diberi perhatian serius. Tambahan pula, dakwaan melibatkan kepimpinan GRS menuntut siasatan segera oleh pihak berkuasa untuk memastikan rakyat Sabah mendapat keadilan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Bung Mokhtar turut menekankan bahawa sebagai pembangkang, UMNO perlu proaktif dalam memastikan kerajaan sedia ada bertanggungjawab terhadap isu yang melibatkan rakyat.
Beliau juga mengesahkan bahawa gabungan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) akan terus bekerjasama dalam PRN akan datang. Hal ini untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada Sabah.
Kesinambungan program seperti Gerak17 menjadi bukti komitmen UMNO Sabah dalam memperkukuhkan akar umbi. Selain itu, turut bersedia menghadapi cabaran politik demi kesejahteraan rakyat Sabah. Kerjasama yang kukuh antara BN dan PH diyakini dapat mencorakkan hala tuju baharu bagi negeri ini.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.