TAWAU – Isu ketidakseimbangan peruntukan bagi sekolah luar bandar menjadi perbincangan hangat, terutama dalam konteks kos tinggi yang perlu ditanggung untuk menyertai pertandingan di Semenanjung Malaysia. Hal ini menimbulkan cabaran besar bagi sekolah-sekolah yang terletak jauh dari pusat bandar, seperti di kawasan luar bandar Sabah.
Peruntukan Untuk Sekolah Luar Bandar
Ahli Parlimen Kalabakan merangkap ADUN Tanjung Batu, YB Datuk Andi Suryady Bandy, menyuarakan kepentingan keadilan dalam pembahagian peruntukan pendidikan. Menurut beliau, pertandingan-pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang melibatkan sekolah-sekolah luar bandar memerlukan sokongan kewangan yang lebih tinggi. “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus memastikan peruntukan diagihkan secara adil dan saksama, supaya sekolah luar bandar tidak terus ketinggalan,” katanya ketika ditemui media.
Beliau mengulas demikian ketika melihat pencapaian sekolah ini namun terdapat beberapa kekangan untuk melonjakkan lagi pencapaian terutama diperingkat antarabangsa. Datuk Andi hadir dalam Majlis Apresiasi dan Graduasi SK Tanjung Batu Keramat sesi 2024/2025, yang juga merupakan sekolah dengan jumlah murid tertinggi di Parlimen Kalabakan. Dalam ucapannya, beliau memuji keharmonian antara ibu bapa dan guru yang menjadi faktor utama kejayaan sekolah tersebut.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pembinaan Surau Baharu untuk Kemudahan Murid
Pada majlis itu, YB Datuk Andi turut mengumumkan bahawa pembinaan Surau Ar-Raudhah, yang telah dirancang, akan dimulakan tahun ini. Ketua Menteri Sabah telah meluluskan dana awal sebanyak RM100,000 bagi projek tersebut, namun kos keseluruhan dianggarkan melebihi RM600,000.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PIBG SK Tanjung Batu Keramat atas usaha proaktif dalam memastikan ekosistem sekolah terus cemerlang. “Saya amat berbangga apabila sekolah ini bukan sahaja mewakili daerah tetapi juga negara. Saya juga mengharapkan sokongan ibu bapa terhadap program-program sekolah terus dikekalkan,” ujarnya lagi.
Dengan adanya sokongan menyeluruh, pendidikan di luar bandar tidak lagi menjadi halangan, tetapi peluang untuk membina masa depan yang lebih gemilang bagi generasi muda.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.