TAWAU – Hubungan erat antara Tawau, Malaysia dan Kalimantan Utara, Indonesia, terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kerjasama, termasuk ekonomi, sosial, kebudayaan dan sukan. Jalinan erat antara kedua-dua wilayah ini bukan sahaja penting dari segi sejarah dan hubungan masyarakat, tetapi juga dalam membangunkan potensi ekonomi yang boleh memberi manfaat bersama.
Menurut YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, hubungan antara Tawau dan Kalimantan Utara amat signifikan kerana kedudukan geografi yang bersempadan. “Hari ini kita menerima kunjungan rasmi daripada Pak Gabenur Kalimantan Utara.
Ini satu langkah baik dalam merapatkan hubungan silaturahim antara dua wilayah yang mempunyai pertalian sejarah dan ekonomi yang kukuh. Selain perbincangan mengenai perniagaan dan peluang kerjasama ekonomi, kami juga mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak yang bertujuan mengukuhkan lagi ikatan antara rakyat di kedua-dua wilayah,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa lawatan balas ke Kalimantan Utara akan dilakukan dalam masa terdekat. Kunjungan ini adalah sebagai langkah susulan untuk terus memperkukuh hubungan dua hala ini. “Kita perlu memelihara hubungan baik ini demi kepentingan rakyat di kedua-dua pihak. Sejarah telah membuktikan bahawa Tawau dan Kalimantan Utara mempunyai hubungan yang sangat erat. Kita perlu pastikan ia terus terjalin demi kesejahteraan bersama,” tambahnya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Menghargai Sambutan Daripada Kalimantan Utara
Sementara itu, Gabenur Kalimantan Utara, Dr. H. Zainal Arifin Paliwang, turut menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua wilayah. “Kami sangat menghargai kunjungan dan sambutan yang diberikan oleh rakan-rakan kami di Tawau.
Hubungan ini harus terus berkembang, bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam aspek perdagangan, kebudayaan, dan pembangunan masyarakat. Kami berharap lebih banyak inisiatif kerjasama dapat dijalankan bagi memastikan manfaat bersama untuk rakyat di kedua-dua wilayah,” katanya.
Mereka ditemui dalam satu perlawanan persahabatan bola sepak turut berlangsung. Perlawanan ini diantara pasukan NABT Tawau yang diketuai oleh Datuk Nizam dan pasukan Kalimantan Utara yang diwakili oleh Gabenur Dr. H. Zainal Arifin Paliwang. Perlawanan ini bukan sekadar menguji kehebatan di atas padang, tetapi juga sebagai simbolik kepada semangat kesukanan dan perpaduan antara dua negara serumpun ini.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, ADUN Balung dan Datuk Hamild Awang. Selain itu, turut hadir Ketua Perwakilan Konsulat Indonesia di Tawau, Aris Heru Utomo.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.