TAWAU – Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima Briged Ke-13 Infantri Malaysia berlangsung penuh istiadat. Majlis berlangsung di Padang Kawad Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Kukusan.
Majlis ini menandakan pertukaran kepimpinan antara Brig Jen Hashim bin Osman, Panglima 13 Briged yang akan bertukar ke Cawangan Operasi dan Latihan (OPLAT) sebagai Ketua Pengarah dengan penggantinya.
Dalam ucapannya, Brig Jen Hashim menyampaikan rasa syukur atas kerjasama erat warga 13 Briged sepanjang beliau memegang jawatan sejak Januari 2023.
Beliau juga menyatakan kebanggaan terhadap mutu perbarisan yang ditampilkan pada hari bersejarah ini. Seterusnya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah atas sokongan dalam memastikan tugasnya dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
“Sepanjang dua tahun, kami berusaha mencapai kecemerlangan dalam memenuhi keperluan perkhidmatan” kata beliau.
Perbarisan istiadat ini melibatkan 12 pegawai dan 356 anggota lain-lain pangkat. Majlis ini disaksikan oleh Panglima 5 Divisyen, Mej Jen Dato’ Haji Noorrul Azril bin Ariffin, bersama Komander Rejimen 516 AW, Brig Jen Datuk (Dr) Lim Teck Kiong.
Upacara simbolik penyerahan tongkat kuasa dan nota serah tugas menandakan peralihan rasmi kepimpinan kepada Brig Jen Jagjit Singh. Beliau kini memikul tanggungjawab menerajui Briged Ke-13.
Brig Jen Jagjit Singh dijangka meneruskan komitmen memperkukuhkan kedudukan Briged Ke-13 dalam menjalankan tugas mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.