GRS Sasar Tawan Semua Kerusi DUN di Tawau dan Kalabakan

tawau

TAWAU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk menawan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tawau dan Kalabakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata rakyat di kedua-dua Parlimen itu perlu menyokong gabungan berkenaan. Hal ini demi memastikan tiada kawasan DUN yang tercicir daripada pembelaan wakil rakyatnya.

Beliau berkata, kerajaan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus pimpinannya mempunyai hala tuju yang jelas dan agenda besar bagi membangunkan Sabah, termasuk di Tawau dan Kalabakan demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Pada PRN nanti mesti undi GRS kerana banyak pencapaian yang kita berjaya lakukan sepanjang empat tahun memerintah negeri ini. “Jadi saya minta rakyat di DUN Merotai dan kawasan DUN lain di Kalabakan serta Tawau pastikan semua DUN di sini dimenangi GRS.

“Kita ada agenda besar untuk Sabah, kita ada hala tuju. Berbanding kerajaan sebelum ini yang tiada hala tuju, hanya berbohong dan buat fitnah di sana sini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anak Merotai . Program ini dianjurkan oleh Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Merotai, dekat sini pada Ahad.

Hadir sama Presiden PHRS, Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong. Selain itu, turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal, ADUN Balung, Datuk Haji Hamild Awang.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Isu Bekalan Air

Hajiji memberi jaminan GRS akan kekal membentuk kerajaan negeri selepas PRN17 nanti. Hal ini berikutan pencapaiannya dalam membawa perubahan di negeri ini selepas lebih empat tahun memerintah.

Sehubungan itu, beliau mahu semua kawasan DUN termasuk Merotai diwakili wakil rakyat kerajaan agar usaha membawa pembangunan di kawasan itu lebih berjalan lancar.

“Percayalah dalam PRN akan datang kerajaan GRS akan membentuk kerajaan sekali lagi. Jadi saya tidak mahu Merotai ketinggalan kali ini, Merotai mesti diwakili wakil kerajaan.

“Kita mesti menang di sini, majukan Merotai. Kita bukan bercakap kosong, kita ada hala tuju,” katanya. Sementara itu, Ketua Menteri turut memberi jaminan berhubung isu bekalan air. Perkara ini akan dapat diselesaikan pada tahun ini setelah semua kerja penambahbaikan dilaksanakan.

“Isu air saya bagi jaminan kita dapat selesaikan pada tahun ini. Kita ada peruntukan, loji air kita akan dinaik taraf dan dibaiki. “Begitu juga masalah paip bocor, kita akan baiki, jadi masalah air ini kita akan selesai pada tahun ini juga kerana kita ada perancangan, kita ada usaha, bukan kita cakap kosong.

DSP Hajiji Hj Noor ketika ditemui media

“Kalau cakap kosong seperti pembangkang saya rasa itu tidak perlu kita beri perhatian. Mereka tidak boleh buat apa-apa, kita sudah beri peluang kepada mereka, tapi apa mereka buat. “Mereka (pembangkang) umpama tin kosong, memang besar bunyinya kalau diketuk. Tapi kita empat tahun memerintah sudah banyak kita capai,” katanya.

Peruntukan Untuk Projek di Tawau dan Kalabakan

Dalam ucapannya, Hajiji turut mengumumkan kelulusan permohonan Tanah Perkampungan Iban, Merotai Besar dan Kampung Melati Burut untuk diwartakan sebagai rizab perkampungan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kelulusan Pemasangan Lampu Solar Jalan Raya Besar dari Jambatan Putih hingga ke Sungai Udin, Merotai. Sebanyak RM1.9 juta akan diperuntukkan untuk projek ini dan akan dipasang selewat-Iewatnya pada April atau Mei 2025.

Ketua Menteri juga mengumumkan pembukaan Pekan Baharu Merotai di Kijang Point yang menempatkan 100 unit rumah dua tingkat dan 16 unit kedai yang sudah siap. Pekan ini dibina oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta Perkasa Reality.

Hajiji turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan untuk Merotai dengan peruntukan RM2 juta. Pada majlis itu, beliau menyerahkan surat tawaran tanah daripada Jabatan Tanah dan Ukur kepada 42 penerima dari Kampung Iban, Merotai.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *