TAWAU – Perpaduan dan keharmonian merupakan asas penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang maju dan makmur. Amat penting bagi masyarakat untuk terus mengekalkan semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan menolak sebarang elemen yang cuba menggugat keharmonian sedia ada.
Menurut YB Datuk Rina Hj Jainal, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Kukusan, keharmonian dan perpaduan di peringkat komuniti perlu sentiasa dijaga dan dipertahankan. Beliau ditemui dalam Program Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat DUN Kukusan yang diadakan di Dewan Terbuka Taman Ambar Park.
“Kita memilih Taman Ambar Park sebagai lokasi sambutan ini kerana ia membolehkan kita meraikan perayaan ini bersama masyarakat akar umbi. Apabila kita melaksanakan program yang melibatkan komuniti, ia bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan antara kaum,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila program ini berjaya menghimpunkan lebih 500 hadirin. Pengunjung yang datang bukan sahaja dari Taman Ambar Park, tetapi juga dari kawasan sekitar seperti Taman Hilltop, Taman Riang, dan Taman Gembira. “Kehadiran yang cukup menggalakkan ini menunjukkan bahawa masyarakat di DUN Kukusan sememangnya mengamalkan semangat kebersamaan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Tidak Mudah Terpengaruh Anasir Gugat Keharmonian
Saya menyeru agar kita tidak mudah terpengaruh dengan sebarang hasutan atau elemen luar yang cuba memecah-belahkan perpaduan kita. Adalah penting untuk kita mempunyai kepercayaan dan prinsip sendiri. Sekaligus percaya bahawa perpaduan adalah kunci utama dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni,” tambahnya.
Selain menekankan kepentingan perpaduan, YB Datuk Rina turut menekankan aspek keselamatan setempat. Khususnya berkaitan isu vandalisme yang masih berlaku di kawasan tersebut. Sebagai langkah proaktif, beliau telah memperuntukkan sebanyak RM5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Ambar Park. Hal ini bagi mempertingkatkan sistem keselamatan dan pengawalan komuniti.
“Taman Ambar merupakan kawasan perumahan lama di DUN Kukusan. Adalah penting untuk kita memastikan persekitarannya terus terjaga dan selamat untuk semua penduduk,” katanya.
Program Sambutan Tahun Baharu Cina ini dianjurkan oleh KRT Taman Ambar Park dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.70 Kukusan. Ia dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, jamuan makan, dan sesi ramah mesra antara penduduk setempat.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.