TAWAU – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memainkan peranan penting dalam melindungi hak intelek usahawan dan perniagaan. Perlindungan ini adalah melalui pendaftaran cap dagangan (trademark), hak cipta (copyright), dan reka bentuk perindustrian (industrial design). Pendaftaran ini bukan sahaja memastikan idea serta inovasi dilindungi daripada penciplakan, tetapi juga meningkatkan nilai perniagaan serta kepercayaan pengguna terhadap jenama tempatan.

Menurut Pengerusi MyIPO, YBrs Ts. Dr. Mohd Zuhan Bin Mohd Zain, pejabat satelit MyIPO kelima yang dirasmikan di Tawau ini merupakan pejabat kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu. Pemilihan Tawau sebagai lokasi baharu didorong oleh beberapa faktor. Antaranya, potensi ekonomi yang besar dan akses strategik ke daerah berhampiran seperti Semporna dan Lahad Datu. Selain itu, jumlah pendaftaran harta intelek yang tinggi dari kawasan ini Tawau menjadi salah satu pendorong kepada pembukaan ini. MyIPO berhasrat untuk membuka pejabat di setiap negeri bagi memudahkan lebih ramai usahawan mendapatkan perlindungan terhadap harta intelek mereka.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
MYIPO Buka Peluang Daftar Hak Cipta Perniagaan
Sejak 2020 hingga 2024, sebanyak 2,196 pendaftaran harta intelek telah direkodkan di Sabah. Jumlah ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan tempatan. Jenama terkenal seperti Kopi Tenom membuktikan bagaimana pendaftaran cap dagangan mampu memberikan nilai tambah kepada produk Sabah di pasaran global.
Sempena perasmian ini, MyIPO turut menyampaikan sumbangan kepada usahawan asnaf yang terpilih di daerah ini. Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan untuk mendaftarkan jenama mereka tetapi juga membantu mereka dalam mengekalkan keunikan produk tanpa risiko ditiru oleh pihak lain.

Dengan pembukaan pejabat MyIPO di Tawau, usahawan di kawasan Pantai Timur Sabah kini mempunyai akses lebih mudah untuk mendaftarkan harta intelek mereka. Hal ini sekaligus memperkukuhkan daya saing produk tempatan di pasaran.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.