TAMAN HILLTOP, TAWAU – Santunan masyarakat di akar umbi memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam komuniti yang berbilang kaum.
Melalui interaksi langsung dengan rakyat, pemimpin dapat memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, inisiatif seperti walkabout dan kunjungan ke premis perniagaan serta kediaman bukan sahaja memperkukuh hubungan sosial tetapi juga mengeratkan lagi semangat muhibah antara kaum.
Santunan Masyarakat Tiong Hua Sempena Tahun Baharu Cina
YB Datuk Rina Hj Jainal, ADUN Kukusan, menekankan kepentingan perpaduan melalui sesi santunan masyarakat. Sesi ini diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Hilltop.
“Setiap tahun, kita mengadakan walkabout di Taman Hilltop. Sesi ini adalah sebagai tanda penghormatan dan keprihatinan terhadap masyarakat Tiong Hua yang menetap di sini. Tahun ini lebih istimewa kerana kami turut membawa tarian singa untuk bersama-sama mengelilingi taman perumahan dan premis perniagaan di sekitar kawasan ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sekadar lawatan rutin tetapi membawa mesej perpaduan yang jelas. “Sambutan Tahun Baharu Cina bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Kehadiran kami di sini bukan sahaja untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada komuniti Tiong Hua. Tetapi juga untuk memastikan kemeriahan perayaan ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita dalam menerapkan semangat Kukusan Sejahtera yang mengutamakan kebersamaan dan keharmonian,” tambahnya.
Program yang berlangsung di Taman Hilltop ini turut diserikan dengan pemberian limau. Selain itu, turut disertakan dengan persembahan tarian singa yang membawa simbol tuah dan kesejahteraan. Selain itu, YB Datuk Rina juga sempat menyantuni para peniaga dengan mengunjungi kedai-kedai baharu yang beroperasi di kawasan tersebut.
“Dengan adanya program turun ke akar umbi seperti ini, kita bukan sahaja bertemu rakyat dari pelbagai latar belakang tetapi juga menunjukkan kepada dunia luar bahawa kita adalah masyarakat yang bersatu dan sentiasa bekerjasama dalam apa jua keadaan,” katanya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.