APMM Perketat Kawalan Perairan Tawau

apmm

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau sedang giat melaksanakan Ops Khas Pagar Laut 1/2025 bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang dijangka meningkat sepanjang bulan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.

APMM
Operasi pemeriksaan bot penumpang dijalankan oleh pihak APMM

Menurut Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman, operasi ini telah diaktifkan semula di seluruh perairan Malaysia. Operasi kali ini memberi tumpuan kepada titik panas di perairan Tawau, terutamanya di kawasan Pulau Sebatik, yang menjadi pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia.

“Kami percaya akan ada percubaan untuk menjalankan aktiviti jenayah rentas sempadan, terutama penyeludupan barangan kawalan dan terlarang seperti mercun, bunga api, beras, gula, minyak masak serta tong gas ke negara jiran,” katanya.

Setakat ini, APMM Zon Maritim Tawau telah melakukan 189 pemeriksaan dan berjaya menahan empat kes penyeludupan di bawah Akta Kawalan Bekalan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM400,000. Dua tangkapan besar sahaja melibatkan nilai sekitar RM250,000.

“Kami mengesan trend penyeludupan sudah bermula sebelum Ramadan, menyebabkan kekurangan bekalan dan peningkatan harga barang. Kami tidak akan berdiam diri kerana semakin dekat dengan perayaan, semakin banyak cubaan penyeludupan ke negara jiran,” jelasnya.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Kawalan Ketat & Keselamatan Penumpang

Bagi memastikan kelancaran operasi, sekitar 30 pegawai dan anggota akan bertugas 24 jam sehari bagi mengawal perairan Tawau.

Dalam operasi pemeriksaan yang dijalankan sebelum ini, APMM mendapati terdapat bot penumpang membawa lebihan penumpang. Namun pihak APMM mengeluarkan amaran kepada juragan untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut.

“Secara keseluruhannya, kami dapati penumpang dan komuniti maritim mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Selain penguatkuasaan, APMM juga bersedia untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku kecemasan di laut.

APMM
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman ketika ditemui media

Kerjasama Masyarakat Diperlukan

Dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan, kerjasama masyarakat amat dialu-alukan. Terutama untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau pergerakan mencurigakan di perairan Tawau.

Ops Khas Pagar Laut ini akan diteruskan sehingga selepas Aidilfitri bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin dan aktiviti jenayah dapat dibanteras secara berkesan.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *