TAWAU – Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah (PJKHRS) bukan sahaja membantu golongan memerlukan, tetapi turut menyokong peniaga tempatan menerusi program membeli-belah baju raya yang diadakan di sini.
Pengerusinya, Sammie Liew, berkata program julung kali itu memberi peluang kepada 50 anak yatim dan asnaf untuk membeli pakaian baharu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Selain membantu kanak-kanak memilih baju raya mengikut cita rasa mereka, program ini juga bertujuan meningkatkan hasil jualan peniaga tempatan. Terutamanya yang terkesan akibat persaingan perniagaan dalam talian.
“Kami menyedari ramai peniaga kecil di Tawau berdepan cabaran, terutama dengan saingan e-dagang yang semakin meningkat.
Justeru, kami bekerjasama dengan pemilik Ha Collection untuk menjayakan program ini, sekali gus menyokong perniagaan mereka,” katanya kepada media.
Menurut Sammie, PJKHRS berharap inisiatif seperti ini dapat merancakkan semula ekonomi peniaga kecil, terutamanya menjelang musim perayaan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Dalam pada itu, beliau turut menyeru lebih ramai individu dan syarikat untuk menyokong usaha NGO yang giat membantu golongan kurang berkemampuan.
“Jika ada yang ingin menyumbang tetapi tidak tahu bagaimana, mereka boleh menyalurkan bantuan melalui NGO seperti kami. Setiap sumbangan akan terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Sementara itu, Salina Ahmad, 42, seorang suri rumah yang menerima manfaat program ini, melahirkan rasa syukur kerana dua daripada 10 anaknya dipilih menerima baju raya baharu.
“Pendapatan suami sebagai buruh memang terhad, jadi program ini sangat membantu keluarga kami.
Anak-anak pun gembira kerana dapat pakaian baharu untuk berhari raya nanti,” katanya.
Program ini diharapkan dapat diteruskan setiap tahun bagi membantu lebih ramai penerima. Selain itu, turut menyokong perniagaan tempatan dalam memastikan kelangsungan operasi mereka.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.