TAWAU – Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan masyarakat terpelihara serta pembangunan kawasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu, YB Datuk Andi Suryady Bandy, UPPM berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan. Terutama dalam menyampaikan suara rakyat serta memastikan segala dasar dan program kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik.
“UPPM adalah jentera utama setiap ADUN di kawasan masing-masing. Mereka perlu memahami permasalahan rakyat dan menyampaikan agenda pembangunan serta penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan negeri. Jika UPPM tidak berfungsi, sudah pasti akan berlaku kepincangan dalam pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa UPPM Negeri Sabah yang dianjurkan bersama syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad.
Kerjasama UPPM dan Syarikat Swasta untuk Kebajikan Rakyat
Majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh lebih 1,000 orang itu menjadi platform penting bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri, sektor swasta dan masyarakat.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Menurut Datuk Andi, program seperti ini bukan sahaja memperkuatkan silaturahim, tetapi juga membuktikan kesepakatan antara sektor kerajaan dan swasta dalam membantu golongan memerlukan.
“Saya menyambut baik usaha ini kerana ia menunjukkan kesungguhan sektor swasta dalam membantu masyarakat. Dengan adanya kerjasama yang erat, lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dexter, wakil Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, menegaskan bahawa program berbuka puasa ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
“Keseluruhan jelajah ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat. Saya sangat teruja kerana dapat bersama komuniti di kampung untuk berbuka puasa. Kita dapat merasai kemesraan yang erat dengan masyarakat setempat,” katanya.
Tambahnya, syarikat tersebut telah membelanjakan hampir RM1.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program CSR. Perbelanjaan ini termasuk jelajah berbuka puasa, sumbangan kepada asnaf serta program membeli-belah baju raya untuk golongan kurang berkemampuan.

UPPM Perlu Proaktif dalam Menyantuni Rakyat
Datuk Andi turut mengingatkan semua UPPM di kawasan Parlimen Kalabakan dan Tawau agar melipatgandakan usaha dalam menyantuni rakyat. Terutama dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
“UPPM perlu segera menangani dan menyelesaikan sebarang masalah atau aduan rakyat, khususnya yang melibatkan kebajikan mereka. Kita tidak mahu ada rakyat yang terpinggir daripada arus pembangunan,” tegasnya.
Beliau berharap agar UPPM terus komited dalam menjalankan amanah sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan negeri. Hal ini sekaligus memastikan usaha pembangunan dan kebajikan rakyat dapat terus diperkasakan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.