TAWAU – Kerajaan negeri Sabah terus komited dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar, selari dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ingin memastikan golongan kurang berkemampuan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.
Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat, khususnya golongan miskin tegar dan miskin.
Berjaya Kurangkan Kadar Kemiskinan
“Sejak kita menjadi kerajaan, kita telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Sabah. Perkara ini dilakukan melalui pelbagai program bantuan dan inisiatif yang disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini perlu diteruskan. Hal ini supaya semua rakyat dapat menikmati pembangunan dan kemajuan negara tanpa ada golongan yang tercicir.
Mengenai program Sumbangan Hari Raya, Datuk Nizam berkesempatan menyampaikan sumbangan raya kepada pemimpin akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Program tahunan ini melibatkan penyertaan ketua-ketua cawangan, ketua pusat daerah mengundi (PDM) dan pimpinan wanita cawangan. Selain itu, turut menerima sumbangan adalah daripada pemuda, beliawanis Gagasan Rakyat, serta ketua kampung. Pengerusi JKKK, ketua masyarakat Cina, pengerusi masjid dan imam-imam di kawasan DUN Apas turut menerima sumbangan.
“Setiap tahun dalam bulan Ramadan, saya akan menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka. Saya berharap ia dapat menceriakan sambutan Aidilfitri. Selain itu, sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar,” kata Datuk Nizam.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memberikan kerjasama dalam usaha beliau mendekati rakyat di peringkat akar umbi. Selain itu, turut serta membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
“Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk memastikan segala isu dan keperluan rakyat mendapat perhatian sewajarnya. Saya mengharapkan kerjasama berterusan daripada masyarakat agar kita dapat sama-sama mencari penyelesaian terbaik untuk setiap cabaran yang dihadapi,” tambahnya.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.