457 Bakal Jemaah Haji Zon Pantai Timur Sabah Sedia Berangkat, Ilmu & Disiplin Jadi Bekal

TAWAU – Seramai 457 bakal jemaah haji dari kawasan pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan berkumpul hari ini bagi menyertai Kursus Perdana Haji sebagai persiapan terakhir sebelum berlepas ke tanah suci bermula 17 Mei 2025 ini.

Program anjuran Lembaga Tabung Haji itu memberi penekanan kepada pemantapan ilmu serta simulasi praktikal ibadah haji atau manasik haji yang wajib difahami oleh setiap individu yang terlibat sebelum melaksanakan rukun Islam kelima ini di Tanah Suci Makkah.

jemaah haji
Datuk Andi Suryady menerima cenderahati daripada Datuk Nurlaila Said – Foto M.Azizul

Majlis perasmian program disempurnakan oleh YB Datuk Andi Suryady Bandy, Pembantu Menteri kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, merangkap Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu, yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

“Saya melihat ini sebagai satu kesempatan yang baik kepada semua bakal jemaah untuk menimba sebanyak mungkin ilmu berkaitan ibadah haji. Hal ini untuk memastikan agar mereka benar-benar bersedia. Terutama dari segi fizikal, mental dan spiritual,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tabung Haji yang sentiasa komited dan profesional dalam menguruskan jemaah haji Malaysia setiap tahun.

“Sekarang terpulang kepada jemaah untuk mematuhi segala panduan dan garis panduan yang telah diberikan oleh pihak Tabung Haji. Terutamanya dalam menjaga disiplin dan kesihatan sepanjang berada di tanah suci nanti,” tambahnya.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Persiapan Dilaksana Sejak Tahun Lalu

Sementara itu, Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said menjelaskan bahawa persiapan untuk jemaah haji telah dilaksanakan sejak tahun lalu lagi.

“Kita mulakan dengan Kursus Asas Haji pada November 2024 untuk memberi kefahaman teori kepada para jemaah. Kemudian kita teruskan dengan Kursus Intensif Haji pada Februari 2025 yang lebih menekankan pemahaman mendalam,” katanya.

Menurutnya, kursus kali ini pula merupakan latihan praktikal untuk membolehkan para jemaah mengaplikasikan ilmu yang telah mereka pelajari sebelum ini.

“Manasik ini bukan sekadar simbolik. Tetapi penting bagi memastikan setiap jemaah benar-benar tahu apa yang perlu dilakukan ketika berada di Tanah Suci nanti. Kita mahu mereka beribadah dengan sempurna dan tenang,” ujar beliau.

jemaah haji
Datuk Andi Suryady ketika ditemui media – Foto M.Azizul

Untuk musim haji 1446H ini, seramai 980 jemaah haji dijangka berlepas dari Sabah. Tabung Haji turut menekankan kepentingan kesihatan dan keselamatan para jemaah sebagai antara aspek terpenting sepanjang pelaksanaan ibadah di tanah suci.

Dengan persiapan rapi dan sokongan padu dari agensi pelaksana serta pemimpin setempat, diharapkan para jemaah dari pantai timur Sabah akan dapat menunaikan ibadah mereka dengan penuh khusyuk, selamat dan diberkati.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *