TAWAU – Dalam era ledakan maklumat yang kian pesat, peranan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi kerajaan dilihat semakin mencabar dan penting dalam memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan berintegriti.
Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Lo Su Fui menegaskan bahawa RTM kekal relevan meskipun wujud pelbagai cabaran media baharu. Misalnya TikTok, Facebook, dan pelantar digital lain yang sering kali menyebarkan maklumat tanpa tapisan.

“RTM telah wujud sejak 79 tahun yang lalu, sebelum merdeka lagi. Walaupun bentuk penyampaian telah berubah daripada media cetak ke digital, peranan RTM semakin berat, terutama dalam menapis dan menyampaikan maklumat yang benar,” kata beliau ketika berucap dalam program Majlis Jamuan Hari Raya RTM bersama unit beruniform di Eastern Plaza, semalam.
Sambutan Aidilfitri RTM Raikan Anggota Unit Beruniform
Program yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ulang Tahun ke-79 RTM itu turut menghargai pengorbanan anggota unit beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM). Tidak dilupakan juga anggota unit beruniform daripada Maritim Malaysia serta Polis Diraja Malaysia yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga kerana bertugas menjaga keselamatan awam.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Tawau FM kerana menganjurkan program ini. Ia memberi ruang kepada anggota beruniform untuk sama-sama meraikan hari raya, menghilangkan sedikit kepenatan dan tekanan kerja mereka,” tambah Datuk Lo.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran peminat RTM serta penyokong setia Tawau FM. Turut berlangsung persembahan nyanyian daripada artis tempatan dan wakil-wakil unit beruniform yang turut menyumbangkan hiburan mesra rakyat.

Program seperti ini dilihat bukan sahaja sebagai usaha memperkukuh hubungan antara media kerajaan dengan masyarakat, malah mengangkat peranan RTM sebagai institusi penyiaran yang dekat di hati rakyat. Khususnya dalam era di mana maklumat palsu mudah tersebar dan sukar dibendung.
Menjelang ulang tahun ke-79 penubuhannya, RTM diharap terus maju seiring peredaran zaman. Seterusnya menjadi platform media yang terus dipercayai oleh rakyat Malaysia.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.