Perpaduan Disemarakkan Melalui Program Gerbang Raya 2025

perpaduan

TAWAU – Suasana kemeriahan Syawal bukan sahaja diraikan dengan juadah dan kunjungan mesra, tetapi turut diserikan dengan nilai perpaduan yang kian mekar dalam kalangan masyarakat menerusi Program Gerbang Raya 2025. Program anjuran Asmah Kadir Empire ini berlangsung penuh meriah di Dewan Masyarakat Tawau, menyatukan penduduk dari pelbagai kampung melalui semangat gotong-royong dan kreativiti dalam menghias gerbang hari raya.

Edisi keempat program tahunan ini menyaksikan sambutan luar biasa. Malam kemuncaknya menjadi tumpuan apabila diumumkan bahawa Kg Sabaktullah muncul juara Pertandingan Gerbang Raya kali ini, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

perpaduan
Datuk Nizam merakamkan gambar kenangan bersama penduduk Kampung Sakbatullah. Foto – Salam Undong

YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, dalam ucapannya menyifatkan program ini sebagai simbol kebersamaan dan kekuatan akar umbi masyarakat Tawau.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Asmah Empire selaku penganjur Pertandingan Gerbang Raya yang kini memasuki tahun keempat sejak dimulakan pada tahun 2022. Program ini berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni dan penuh semangat kekitaan,” katanya.

Menurut beliau, Program Gerbang Raya bukan sekadar satu acara pertandingan biasa. Ia menjadi platform penyatuan komuniti melalui aktiviti bermanfaat yang menjurus ke arah pembinaan masyarakat berakhlak dan berjiwa besar.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

“Perhimpunan seperti ini bukan sahaja menunjukkan semangat kerjasama dalam menghias gerbang, malah mengukuhkan silaturahim antara kampung. Kita lihat keakraban, gelak tawa dan kerja berpasukan yang luar biasa,” ujar beliau lagi.

Selain pertandingan menghias gerbang, pelbagai pengisian lain turut diadakan sepanjang program ini. Antaranya Jelajah Tilawah Al-Quran, Jelajah Qiam, Butik Kebajikan, dan Runner Kebajikan. Kesemua program ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan masjid, malah menyemai nilai-nilai kerohanian dan keinsafan dalam kalangan generasi muda.

“Program seperti ini perlu dikekalkan dan diperluaskan ke seluruh Sabah. Saya mencadangkan agar ia dimasukkan ke dalam kalendar rasmi tahunan negeri Sabah, bermula dari bulan Ramadan hingga Syawal. Ini bukan sahaja menyemarakkan suasana perayaan, malah bakal menjadi tarikan pelancongan budaya kepada masyarakat luar,” tambah beliau.

perpaduan
Datuk Nizam ketika ditemui media. Foto – Salam Undong

Penganjur Program Raih Perpaduan Ini Perlu Disokong

YB Datuk Nizam turut merakamkan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Sabah atas sokongan terhadap pelaksanaan program ini. Beliau sekaligus memungkinkan penyambungannya pada masa hadapan.

Dengan penyertaan yang semakin bertambah saban tahun, Program Gerbang Raya bukan sahaja mencetus kemeriahan, malah memperlihatkan nilai perpaduan yang kuat dalam kalangan masyarakat Tawau. Ia menjadi contoh bagaimana acara berbentuk komuniti mampu membentuk masyarakat yang bersatu hati, berjiwa besar, dan kaya dengan budaya gotong-royong.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *