USAHANITA Terus Teguh Perkasa Usahawan Sabah

usahanita

TAWAU – Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (USAHANITA) disifatkan sebagai antara platform terpenting dalam memperkasakan golongan usahawan wanita, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga nasional. Perkara itu ditegaskan oleh YB Datuk Rina Hj Jainal, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah merangkap ADUN Kukusan.

Menurut beliau, usaha berterusan yang digerakkan oleh USAHANITA telah membuka banyak ruang kepada wanita Bumiputera untuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan serta menyumbang kepada ekonomi negeri.

“USAHANITA adalah satu platform yang sangat baik. Ia bukan sahaja menyatukan usahawan wanita dari seluruh negara, malah menjadi pemangkin utama dalam membantu mereka membina jaringan, mempromosi produk, dan melonjakkan ke hadapan usaha keusahawanan,” kata Datuk Rina.

Datuk Rina menerima cenderahati daripada Usahanita – Foto M.Azizul

Mesyuarat Agung Tahunan Usahanita

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 USAHANITA Cawangan Negeri Sabah yang berlangsung di Hotel Emas, Tawau. Kehadiran ahli dari seluruh negeri menjadikan mesyuarat ini medan penting untuk membincangkan hala tuju baharu dan perancangan masa depan persatuan.

Datuk Rina turut memaklumkan bahawa penganjuran mesyuarat agung di Tawau merupakan satu langkah strategik untuk memperkenalkan daerah ini sebagai pusat perkembangan keusahawanan. Kedudukan Tawau yang berhampiran dengan sempadan Indonesia memberi kelebihan dari segi akses pasaran yang lebih luas.

“Banyak produk kecantikan dari Tawau kini telah berjaya dieksport ke luar negara, terutamanya ke pasaran Indonesia. Ini bukti bahawa Tawau mempunyai potensi besar sebagai hab produk tempatan berdaya saing,” tambahnya.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Dalam usaha meningkatkan sokongan kepada usahawan kecil, beliau turut berkongsi perancangan untuk membawa masuk mesin retort ke kawasan Kukusan. Inisiatif ini bakal membantu usahawan makanan dari rumah untuk meningkatkan kualiti dan jangka hayat produk mereka.

“Ramai wanita memulakan perniagaan dari rumah. Mereka perlukan alat sokongan seperti mesin retort agar produk mereka dapat dikomersialkan secara lebih profesional dan selamat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggariskan pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan negeri seperti geran mikro dan program start-up untuk usahawan baharu. Lebih 8,000 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif-inisiatif ini yang digerakkan secara menyeluruh di Sabah.

Datuk Rina ketika ditemui media – Foto M.Azizul

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini bukan sahaja menjadi ruang untuk membincangkan pentadbiran dalaman persatuan dan memperkukuh hubungan antara ahli. Selain itu, turut memperluas rangkaian kerjasama, serta merancang program-program mendatang yang akan terus memartabatkan peranan wanita dalam dunia perniagaan.

Dengan semangat yang dibawa USAHANITA dan sokongan padu kerajaan, Sabah kini berada pada landasan kukuh untuk memperkasa usahawan wanita dari pelbagai lapisan dan latar belakang.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *